Malaysia Selamat Daripada Kesan Radiasi Radioaktif

Malaysia masih selamat dari sebarang ancaman radioaktif walaupun banyak loji nuklear di Jepun rosak teruk dan beberapa buah darinya meletup serta melepaskan radiasi selepas negara itu dilanda gempa bumi kuat Jumaat lalu.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, hingga kini agensi kerajaan yang memantau secara rapi apa yang berlaku di Jepun dan juga sekitar negara ini, tidak mengeluarkan sebarang amaran tentang risiko tersebut.

Baru-baru ini, orang ramai dikatakan menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) yang meminta mereka supaya tidak keluar rumah bagi mengelakkan terhidu bahan radioaktif dan terkena hujan yang didakwa mengandungi toksik ekoran banyak loji nuklear di Jepun meletup selepas negara itu dilanda gempa bumi kuat.

Gempa berukuran 8.9 pada skala Richter itu merupakan yang terkuat melanda negara matahari terbit itu dalam tempoh 140 tahun sehingga mencetuskan tsunami setinggi 10 meter.

Muhyiddin yang juga Pengerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN) menyifatkan SMS itu mungkin dikeluarkan oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab bagi menimbulkan kebimbangan luar biasa di kalangan orang ramai.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai supaya tidak mudah menerima apa sahaja yang dikaitkan dengan bencana alam di Jepun itu tanpa merujuk kepada pihak berkuasa.




Powered by Blogger | Converted by BloggerTheme