Gempa Bumi 8.8 Skala Richter Dan Tsunami Melanda Jepun



Satu gempa bumi kuat berukuran 8.8 pada skala Richter menggegar pantai timur Jepun hari ini, mengakibatkan tsunami setinggi 10 meter terjadi.

Menurut Tinjauan Geologi Amerika Syarikat (USGS), gegaran itu berlaku kira-kira 130 kilometer di timur Sendai, Honshu pada kedalaman 24 kilometer.

Televisyen NHK dan saksi melaporkan, gempa bumi kuat itu turut mengakibatkan kecederaan dan menyebabkan sekurang-kurangnya satu kebakaran serta tsunami setinggi empat meter. 


Berita terkini susulan gempa bumi 8.8 pada skala Richter dan Tsunami Jepun

Penerbangan MAS ke Jepun tergendala akibat gempa

Penerbangan Malaysia Airlines (MAS) ke Lapangan Terbang Narita dan Lapangan Terbang Haneda di Tokyo hari ini tergendala berikutan gempa bumi kuat yang melanda perairan timur laut Jepun.

Bagaimanapun, penerbangan MH52 ke Lapangan Terbang Kansai di Osaka malam ini akan diteruskan mengikut jadual pada 11.50 malam.

Pengurus Perhubungan Awam MAS, Su Wong berkata, penerbangan MH70 pagi ini dari Kuala Lumpur ke Narita telah pun dilencongkan ke Taipei.

Semua penumpang dan anak kapal MAS di lapangan terbang yang terjejas di Jepun berada dalam keadaan selamat, kata beliau menerusi satu kenyataan hari ini.

Dalam kenyataan yang sama, Pengarah Operasi MAS, Kapten Azharuddin Osman berkata syarikat penerbangan itu telah menerima notifikasi daripada pihak berkuasa lapangan terbang untuk menggantung semua penerbangan keluar dan masuk di Lapangan Terbang Narita serta Lapangan Terbang Haneda.

 

Penduduk Labuan dan Sabah dinasihat tidak ke pantai

Penduduk di Labuan dan Sabah dinasihati supaya menjauhi pesisir pantai ekoran laut bergelora dan paras air laut lebih tinggi daripada yang di jangka bermula 6 petang hingga tengah malam ini.

Jabatan Metereologi dalam satu kenyataan hari ini berkata, ini di jangka berlaku ekoran gempa bumi kuat yang melanda Jepun tengah hari tadi.
Katanya, satu gempa bumi bermagnitud 8.8 pada skala Richter telah berlaku di Pantai Honshu, Jepun pada 1.46 petang, 4,434 kilometer dari timur laut Kudat, Sabah. Bagaimanapun tiada amaran tsunami dikeluarkan kepada negara ini.


Tsunami: Pelajar Malaysia di Miyagi, Jepun selamat


Penuntut Malaysia di Miyagi, Jepun dilapor berada dalam keadaan selamat ketika wilayah itu terjejas akibat fenomena tsunami berikutan gempa bumi kuat di Pantai Timur Honshu hari ini.

Perkara itu dimaklumkan oleh Sulastri Yahya, 37, penuntut tahun kedua Universiti Tohoku di Sendai, yang sempat menghantar mesej secara SMS kepada kakaknya.

SMS itu menyebut: “Kak. adik ok, tapi takut sangat... dengan kawan-kawan ni dekat skul... tempat kumpul.. x letrik.”

Abangnya, Husaini Yahya, 47, berkata, SMS tersebut dihantar sebaik kejadian tsunami berlaku, dan selepas itu, Sulastri tidak lagi menghubungi keluarga serta memaklumkan perkembangan terbaru.

"Saya juga cuba menghubunginya tapi tidak berjaya,” kata kontraktor itu ketika dihubungi di sini hari ini.

Gempa bumi bermagnitud 8.9 pada skala Richter itu dilapor mencetuskan fenomena tsunami setinggi 10 meter, selain menghanyutkan kereta serta bangunan di sepanjang pantai.

Powered by Blogger | Converted by BloggerTheme