::SiRi PeNGeMBaRa BerMULa : UK MALaySiA @ UKM


Assalammualaikum dan salam sejahtera.

Di saat aku mengarang coretan ini, aku berada di UK Malaysia Aka UKM.  Tujuan aku ke UKM adalah untuk melawat kawan-kawan dan seterusnya merapatkan ukhwah antara kami.  Aku telah bercadang untuk menginap di sini beberapa hari dan hasil persetujuan bersama kawan, aku dibenarkan untuk menginap di bilik beliau. 

Pertama kali melangkah masuk ke bilik kawan aku, aku sangat kaget apabila melihat ruang biliknya amat luas, mempunyai dapur, ruang  tamu dan peralatan lengkap ibarat sebuah ‘apartment’. 

Kawan aku ada memberitahu bahawa setiap bilik, penghuninya adalah hanya dua orang sahaja.  Tidak semena-mena timbulnya rasa iri hati kerana di kolej kediaman yang aku duduki, pelajar ditetapkan tiga orang sebilik, ruangan juga adalah sempit.

Satu perkara lagi yang membuatkan aku “jeolous’  ialah capaian internet di UKM adalah laju kerana menggunakan perkhidmatan jaring.  Kelajuan internet ketika memuat turun ialah 135 kb/ second. Capaian internetnya berkali ganda lebih pantas daripada capaian internet di kolej aku. Dalam dunia masa kini, capaian internet yang laju adalah perlu bagi memudahkan pelbagai urusan terutama yang melibatkan sistem online.  Jika kita pandai memanipulasikan IT, ia mampu memberikan sumber maklumat yang tidak terkira banyaknya.  Ibarat kata orang “maklumat dihujung jari” atau “maklumat 1 klik”.

Akhir kata, sebelum aku merapu ke arah lebih jauh.  Aku ingin mengundurkan dirikan dengan sebuah cerita lucu.  Harap cerita ini dapat menghiburkan anda semua::

Tajuk : kahwin

Suzy menyampaikan hasrat hatinya kepada bapanya untuk berkahwin dengan Robert, Jejaka pilihannya yang juga adalah jiran dan teman sepermainannya sejak kecil lagi.
Suzy: Ayah, Robert melamar saya. Kami mahu berkahwin.
Ayah: Apa? Tidak boleh! Kamu boleh berkahwin dengan sesiapa saja kecuali Robert.
Suzy: Tapi mengapa?
Ayah: (Separuh berbisik) Kerana Robert sebenarnya adalah abangmu. Tapi, jangan beritahu ibumu ye!
Terkejut dengan jawapan itu, suzy pergi pula kepada ibunya.
Suzy: Ibu, Ayah melarang saya berkahwin dengan Robert.
Ibu: Tak usah dengar cakap ayah kamu tu. Kamu boleh kahwin dengan sesiapa yang kamu suka termasuk Robert.
Suzi: Tapi kata ayah, Robert itu abang saya. Adik beradik kan tak boleh kahwin.
Ibu: (Separuh berbisik) Hmmm.... Ayah kamu pun tak tahu kamu bukan anaknya.
Suzy: Ha!!??!!


Comments

MuNaJaT CiNTa..


Assalammualaikum dan salam sejahtera.

Apa khabar anda semua? Aku harap anda semua sihat-sihat semuanya.  Harap-harap begitulah. InsyaAllah. Pada petang tadi, secara tidak sengaja aku terpandang satu madah cinta yang begitu menarik untuk aku kongsikan dengan anda semua.  Baiklah ikutilah madah tersebut:

Ya Allah jika aku jatuh cinta,
Cintakan aku pada seseorang yang melabuhkan cintanya kepadaMu,
Agar bertambah kekuatanku untuk mencintaiMu.

Ya Muhaimin jika aku jatuh hati,
Izinkanlah aku menyentuh hati seseorang yang hatinya tertaut padaMu
Agar tidak terjatuh aku dalam jurang cinta nafsu.

Ya Rabbana jika aku jatuh hati,
Jagalah hatiku agar tidak berpaling kepada hatiMu.

Ya Rabbul Izzati jika aku rindu,
Rindukanlah aku pada seseorang
Yang merindui syahid di jalanMu.

Ya Allah jika aku menikmati cinta kekasihMu,
Janganlah kenikmatan itu melebihi
Kenikmatan indahnya bermunajat di sepertiga malam terakhirMu.

Ya Allah jika aku jatuh cinta pada kekasihMu,
Jangan biarkan aku bertatih dan terjatuh
Dalam perjalanan jauh menyeru manusia kepadaMu.

Ya Allah jika kau halalkan aku merindui kekasihMu,
Jangan biarkan aku melampaui batas sehingga melupakan aku
Pada cinta hakiki dan rindu abadi hanya kepadaMu.

Comments

JiWa KaCau...

Assalammualaikum dan salam sejahtera.

Pada kali ini aku ingin mengupas sedikit tentang “jiwa kacau”.  Topik ini aku coretkan khas untuk golongan remaja yang mengalami ‘jiwa kacau’ dan cara untuk menanganinya.

Sama seperti orang dewasa, golongan remaja juga tidak terkecuali daripada dibelenggu masalah dan mendorong kepada tekanan.  Oleh itu, luahkan tekanan anda tetapi awas!! Biarlah dengan cara yang betul dan dianggap rasional.  Usah sesekali anda menyimpan tekanan anda kerana jika tekanan terlalu banyak, ia boleh meletus ibarat gunung berapi Fujiyama.  Ia boleh menyebabkan kemudaratan kepada diri sendiri dan juga kepada orang lain.

Semenjak kebelakangan ini, semakin kerap kita mendengar mengenai individu yang mengalami tekanan dan kemurungan jiwa, baik disebabkan oleh tekanan kerja, masalah cinta, perpecahan keluarga, masalah kewangan dan sebagainya.

Remaja hakikatnya antara golongan yang sentiasa diuji dengan pelbagai cabaran yang akhirnya turut mendorong kepada tekanan.  Selain masalah percintaan atau perhubungan remaja, golongan muda mudah tertekan bila berdepan musim peperiksaan atau masalah personaliti diri.  Persoalannya adakah tekanan wajar diluahkan atau lebih baik disimpan untuk mengelakkan ia diketahui orang??

Jika mahu diluahkan, apakah cara cara terbaik kerana bukan sedikit yang menzahirkannya dengan cara yang salah seperti melarikan diri daripada rumah, menjadi pembuli bahkan ada yang lebih tragis sanggup membunuh diri.

Baiklah, di sini aku ingin kongsikan sedikit tip yang boleh diamalkan remaja bagi mengurangkan tekanan dalam kehidupan seharian.  Semoga tip ini dapat membantu kalian semua.  InsyaAllah

Tidur yang mencukupi

Tidur yang mencukupi dapat merehatkan badan serta otak.  Kajian menunjukkan, seseorang yang tidur tiga jam sehingga empat jam kurang daripada kadarnya yang biasa akan mengalami tekanan.  Bukan itu sahaja, ia juga boleh melemahkan sistem pertahanan badan dan menjadikan diri anda mudah dijangkiti kuman.  Penemuan ini dilaporkan dalam majalah perubatan Lancet pada bulan Oktober 1999.

Berwuduk (bagi yang beragama Islam)

Jiwa kita akan menjadi tenang jika kita membiasakan diri dengan mengambil wuduk sebelum melakukan sesuatu pekerjaan.  Secara psikologi, ia membantu memberikan kita pemikiran yang lebih positif.  Para pelajar misalnya, disarankan agar membiasakan diri mengambil wuduk sebelum mengulangkaji pelajaran agar lebih tenang semasa sesi ulang kaji.


Lakukan kegiatan luar seperti bersukan

Badan yang cergas akan membentuk otak yang cergas.  Justeru, segala tekanan sewaktu kerja sekurang-kurangnya dapat dilepaskan apabila kita melakukan aktiviti-aktiviti luar yang dapat menyihatkan tubuh badan seperti bersukan.  Situasi akan menjadi lebih menggembirakan jika kita meluangkan masa membawa keluarga pergi beriadah.  Ikatan kekeluargaan juga akan bertambah erat dan kukuh.  Jika berada berjauhan dengan keluarga, lakukan aktiviti ini bersama kawan-kawan.  Nescaya ia juga dapat merapatkan hubungan antara kawan-kawan dengan kita.

Amalkan diet

Pengambilan makanan yang berlebihan dan tidak seimbang juga merupakan salah satu faktor tekanan sewaktu kerja.  Oleh itu, cara untuk mengurangkan tekanan ialah mengamalkan diet.  Pemakanan yang tidak terkawal akan menyebabkan kegemukan dan menimbulkan penyakit kronik yang lain seperti lemah jantung, darah tinggi dan kencing manis.

Menangis sepuas hati

Tekanan yang dihadapi dapat diredakan melalui luahan hati.  Biasakan diri anda menzahirkan masalah anda di atas sehelai kertas atau meluahkan kepada kawan karib anda.  Selain itu, terdapat juga segolongan remaja yang mempunyai laman blog, mereka banyak mencurahkan tekanan melalui coretan dalam blog mereka.  Jika anda mahu menangis, lakukan sahaja.  Menangislah sepuas-puasnya tetapi anda perlu tahu bila masa yang terbaik untuk berhenti.

Tingkatkan keyakinan diri

Apabila kita mempunyai keyakinan diri, maka kita tidak akan mempunyai masalah untuk melakukan sesuatu pekerjaan yang disuruh walaupun ia susah.  Kita perlu positif dengan setiap arahan dan perubahan agar ia tidak memberikan impak negatif pada emosi kita.  Apa yang penting kita mesti menghargai kebolehan diri dan memulakan hidup dengan lebuh ceria.

Cintai diri sendiri

‘cintailah diri kamu sendiri sebelum kamu mencintai diri orang lain’.  Jelas daripada maksud sepotong hadis ini, kita perlu mencintai diri sendiri terlebih dahulu berbanding mencintai diri orang lain.  Dari situ barulah kita akan lebih menghargai diri sendiri dan mahu mencapai yang terbaik demi masa depan kita.

Tarik nafas dalam-dalam

Bila tiba-tiba anda rasa mahu marah atau diserang panik, tarik nafas dalam-dalam.  Lakukannya beberapa kali.  Apabila anda menyalurkan oksigen yang mencukupi ke otak, ia dapat membantu anda berfikir dengan wajar atau rasional.

P/s: semoga perkongsian ini dapat memberikan manfaat kepada semua khususnya kepada mereka yang sentiasa melawati laman blogku ini yang tidak seberapa. Sekian





Comments

CARa MeMiLiH SaHAbAT..

Assalammuaikum dan salam sejahtera.

Pada kali ini aku ingin berkongsi bagaimana memilih seseorang untuk dijadikan sahabat.  Baiklah ikuti langkah-langkah yang telah dinyatakan di bawah:

NASIHAT yang boleh diikuti dalam membina persahabatan ialah sebagaimana pesanan Al-Qamah (seorang sahabat Rasulullah saw) kepada anaknya:

Pertama:
Pilihlah sahabat yang suka melindungi sahabatnya, dia adalah hiasan diri kita dan jika kita
dalam kekurangan nafkah, dia suka mencukupi keperluan...

Kedua:
Pilihlah seorang sahabat yang apabila engkau menghulurkan tangan untuk memberikan jasa baik atau bantuanmu, dia suka menerima dengan rasa terharu, jikalau ia melihat kebaikan yang ada pada dirimu, dia suka menghitung-hitungkan (menyebutnya).

Ketiga:
Pilihlah seorang sahabat yang apabila engkau menghulurkan tangan untuk memberikan jasa baik atau bantuanmu, ia suka menerima dengan rasa terharu dan dianggap sangat berguna, dan jika ia mengetahui mengenai keburukan dirimu ia suka menutupinya.

Keempat:
Pilihlah sahabat yang jikalau engkau meminta sesuatu daripadanya, pasti ia memberi, jikalau
engkau diam, dia mula menyapamu dulu dan jika ada sesuatu kesukaran dan kesedihan yang
menimpa dirimu, dia suka membantu dan meringankanmu serta menghiburkanmu.

Kelima:
Sahabat yang jikalau engkau berkata, ia suka membenarkan ucapan dan bukan selalu mempercayainya saja. Jikalau engkau mengemukakan sesuatu persoalan yang berat dia
suka mengusahakannya dan jika engkau berselisih dengannya, dia suka mengalah untuk
kepentinganmu.

Sucikanlah 4 hal dengan 4 perkara :
Wajahmu dengan linangan air mata keinsafan,
Lidahmu basah dengan berzikir kepada Penciptamu,
Hatimu takut dan gementar kepada kehebatan Rabbmu,
dan dosa-dosa yang silam di sulami dengan taubat kepada Dzat yang Memilikimu."

Comments

TiP MenGHiLaNGkaN RaSa SuNYi @ SePi..

Assalamuaikum dan salam sejahtera.

Hari ini terdetik dihati aku untuk berkongsi tip untuk menghilangkan rasa sunyi yang menyelubungi dalam diri.  Baiklah di bawah ini penerangannya, aku harap tip ini dapat membantu kalian semua.  insyaAllah

Bila bersendirian, hati sering dilanda sunyi dan sayu, bahkan tidak keruan jadinya.  Sepi barangkali menghantui diri apabila terkenangkan seseorang yang pernah menghuni di hati.

Khusus untuk kekasih yang baru ditinggalkan atau yang masih membujang, kesepian itu sering mengundang perasaan bukan-bukan.  Puas melakukan sesuatu diharap mampu melupakan hal menyakitkan, pedih yang masih bersisa di ulu hati dan 1001 gelodak di jiwa ada kalanya membuatkan diri hilang fokus dalam pelbagai perkara.

Jika anda masih sukar menepis rasa sepi, cuba anda kaji untuk melakukan perkara berikut:

# Maha Pencipta

kembalilah kepada Pencipta dan mohonlah petunjuk daripada-Nya supaya perkara lalu itu dapat mematangkan diri.  Kita juga lebih berhati-hati dalam menjalani hidup ini dengan lebih tabah dan kuat

ingatlah setiap kejadian yang Allah s.w.t cipta mesti bersebab dan ia dijadikan sebagai kayu pengukur keimanan kita terhadap-Nya

# Perbaiki Diri

Jangan sesekali anda berubah kerana ingin memenuhi tuntutan bekas kekasih, tetapi apa yang wajar dilakukan adalah untuk memperbaiki diri daripada pelbagai aspek misalnya kerjaya dan kewangan serta bina keyakinan diri yang mantap demi masa depan lebih stabil.

Ketahuilah apabila anda sudah takluki semua perkara yang dinyatakan dengan keadaan yang baik, di situ juga anda mungkin akan mudah dikelilingi ramai atau lelaki yang suka mengambil kesempatan ke atas diri anda. Awas!!

# Jumpa Kawan

Seperti kebanyakan lelaki atau wanita, apabila bercinta mereka akan meninggalkan kawan rapat.  Bukan lupa, tetapi tidak cukup masa sebenarnya.  Sekarang waktu paling sesuai untuk anda mengambil peluang ini menggamit kembali bebas ketika bersama mereka.

Sudah pasti anda tidak akan dikecewakan malah anda juga akan mendapat layanan mesra daripada mereka kerana mereka sudah lama tidak bersua muka dengan anda.  Tidak percaya? Cubalah!

# Bersenam

Ketika bercinta, tengok wayang, membeli-belah, jalan-jalan, minum dan makan malam itu antara sebahagian besar yang memenuhi diari kehidupan lalu.  Namun, ketahuilah perkara yang lepas mungkin tidak akan sama dengan perkara yang sedang anda alami ketika ini.

Apa kata anda lakukan senaman? Ketahuilah ini masanya anda membuang toksik dan lemak yang sudah lama terkumpul di dalam badan.

Aktiviti riadah juga memungkinkan anda berpeluang bertemu dengan wanita atau lelaki yang lebih baik.

# Kembali Nakal

Zaman kanak-kanak adalah saat yang paling indah dan menyeronokkan.  Bagi orang dewasa yang sudah melupakan zaman kanak-kanak, kebiasaannya mereka tidak ceria dan tidak mempunyai nilai jenaka.

Sesetengah wanita pula tidak suka lelaki yang nakal kerana rasa dirinya tercabar.  Sebab itu ramai lelaki biasanya cuba mengawal perasan mereka dan bersifat kaku seketika bersama teman wanita.

Apabila kembali solo, peluang untuk anda melakukan aktiviti sewaktu bujang atau ‘single’ boleh dilakukan.  Bagi wanita, apabila keadan emosi sudah kembali stabil kembali, kebanyakan mereka suka membeli-belah.

# Terokai dunia baru

Elak daripada melakukan aktiviti yang tidak membuka minda.  Sebaliknya, terokai dunia baru yang lebih mendamaikan dan bermakna.

# Sukarela

Untuk mengurangkan rasa bosan, kunjungi rumah anak yatim, orang tua atau pusat pemulihan untuk melakukan kerja sukarelawan.

# Pandang ke hadapan

Buang memori bekas pasangan atau kekasih anda jauh daripada fikiran.  Berikan perhatian pada apa yang akan berlaku kemudian misalnya bersama bakal kekasih.  Capai angan-angan dengan usaha gigih bersama keyakinan yang tinggi

Comments

KaEDaH Dan AdAb BeRDoa..

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Pada kali ini aku terniat untuk berkongsi sesuatu yang berfaedah kepada anda semua.  Perkara yang dimaksudkan ialah kaedah dan adab ketika berdoa.  Baiklah begini kaedah-kaedahnya:

Hendaklah dalam keadaan suci dari hadas kecil dan besar selain memakai pakaian bersih serta tempat berdoa yang selesa.

  • Menghadap kiblat dan berdoalah dengan khusyuk tawaduk selain merendah diri kepada Allah.
  • Doa dimulakan dengan membaca al-Fatihah atau memuji Allah sekurang-kurangnya, “Alhamdulillahirabbilalamin” diikuti dengan membaca selawat atas nabi.
  • Angkat tangan hingga kelihatan kedua-dua ketiak disamping perut anak jari menghadap ke atas.
  • Selepas selesai berdoa, sapukan kedua-dua tangan ke muka.
  • Berdoa perlulah dengan penuh keyakinan bahawa Allah akan memperkenankan doa kita itu. Jangan sekali-kali berdoa dalam keadaan hati lara dan lalai atau kurang yakin kemahuannya.
  • Rasulullah bersabda, maksudnya: Berdoalah kamu kepada Allah dalam keadaan penuh yakin Dia akan memperkenankan doa kamu. Dan, ketahuilah sesungguhnya Allah tidak akan memperkenankan doa daripada hati yang lalai atau keluh kesah. (Riwayat At-Tarmizi).
  •  Setiap orang Islam hendaklah banyak berdoa kepada Allah ketika dalam keadaan senang atau mudah supaya Allah akan memperkenankan doanya dalam keadaan susah.
  • Berdoa dengan suara yang perlahan dan merendah diri selain mengakui segala kesalahan serta dosa-dosa yang pernah dilakukan.

    Firmah Allah yang bermaksud: Berdoalah kamu dengan merendah diri dan (dengan suara) perlahan (Surah al-Araaf ayat 55).

  • Sebaik-baik doa ialah dengan kata-kata yang mudah dan ringkas serta mempunyai pengertian yang luas, contohnya:

    “Ya, Tuhan kami! Kurniakanlah kepada kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari azab neraka”.

  • Untuk memohon sesuatu hajat, ulangi perkara itu sekurang-kurangnya tiga kali
  • Jangan sekali-kali berdoa untuk meminta sesuatu keburukan atau kejahatan, perpecahan dalam masyarakat atau keluarga. Ingat, apabila berdoa jangan meminta sesuatu yang mustahil.
  • Jangan mudah merajuk apabila doanya tidak dikabulkan Allah. Sebaliknya hendaklah bersabar dan terus berdoa selain berserah diri kepada Allah.
  • Sebelum mengakhiri dengan ucapan Amin, setiap doa perlu ditutup dengan selawat ke atas Nabi s.a.w selain puji-pujian kepada Allah.

DoA MeMoHOn PERLinDuNGan


Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Hari ini aku ingin kongsikan sesuatu yang boleh dianggap berfaedah atau bermanfaat kepada anda semua jika diamalkan. Sesuatu yang dimaksudkan aku ialah doa untuk memohon perlindungan daripada kejahatan semua makhluk. Amalkan membaca doa ini selalu, Insya-Allah akan terhindar dari penyakit yang berbahaya. Doanya berbunyi begini:

'Ya Allah, Tuhan kami. Engkau Tuhan, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Engkau. Kepada Engkau kami bertawakal dan Engkaulah Tuhan Arasy Yang Maha Besar. Sesuatu yang dikehendaki Allah pasti berlaku dan sesuatu yang tidak dikehendaki Allah pasti tidak akan berlaku. Tiada daya upaya dan tiada sebarang kekuatan yang dapat menjaya dan menggagalkan sesuatu melainkan dengan keizinan Allah Yang Maha Tinggi lagi Maha Besar. Kami mengetahui sesungguhnya Allah atas tiap-tiap sesuatu amat berkuasa. Dan, sesungguhnya Allah meliputi pengetahuannya pada tiap-tiap sesuatu.

Ya Allah. Tuhan kami. Sesungguhnya kami memohon berlindung dengan Engkau daripada kejahatan dan keburukan pada diri kami dan daripada kejahatan tiap-tiap makhluk yang melata (jin, syaitan, binatang dan manusia). Engkaulah yang mengawasi ubun-ubunnya (segala gerak geri). Sesungguhnya Tuhan kami di atas jalan yang benar. Cucurilah rahmat dan kesejahteraan ke atas penghulu kami, Nabi Muhammad s.a.w dan atas keluarganya serta sahabat-sahabatnya. Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan pentadbir seluruh alam.'



Comments

HuKuM SeRTai FACEBook..

Bolehkah menggunakan produk ciptaan Yahudi?

Kesimpulannya, dibenarkan untuk umat Islam membeli, menjual, mengguna pakai produk ciptaan bukan Islam termasuk Yahudi selagi mana ia dalam ruang lingkup yang halal. Nabi Muhammad SAW juga diriwayatkan dalam hadis sahih berurusan dan membuat transaksi jual beli juga cagaran dengan seorang Yahudi iaitu: “Sesungguhnya Nabi SAW membeli makanan daripada seorang Yahudi dengan pembayaran secara bertangguh, dan mencagarkan baju besi baginda.” ( Riwayat al-Bukhari, no 2326, 2/841).

Apa maksud Facebook 'menyumbang kepada bangsa Yahudi'?


Jual beli Muslim dengan seorang Yahudi hingga memberikan keuntungan kewangan kepada dirinya tidak bermasalah sama sekali di sisi Islam, malah Rasulullah SAW dan sahabat banyak yang berjual beli dengan Yahudi di Madinah. Cuma persoalannya adakah ia bermaksud menyumbang kepada keganasan Yahudi Zionis? Sejauh mana kebenaran dakwaan itu? Adakah sebarang bukti jelas atau hanya bersandarkan kepada latar belakang peribadi si pengasas?


Adakah penyaluran dana kepada individu Yahudi atau khas ditujukan kepada proses penjajahan tanah Palestin?


Begini, jika ternyata daripada sumber yang sahih, jelas lagi pasti, sesuatu transaksi jual beli kita memberikan keuntungan kepada organisasi Yahudi yang hasil pendapatannya digunakan untuk proses penjajahan haram, keganasan dan serangan ke atas umat Islam, barulah hukum HARUS berubah menjadi HARAM menurut sepakat ulama. Dalam konteks Facebook, ia masih kekal tidak jelas kerana hampir semua penulisan yang membantah Facebook tidak menyertakan bukti jelas berkaitan hal itu. Semuanya membuat andaian itu dan ini sedangkan andaian semata-mata tidak boleh mengubah hukum asal keharusan kepada haram. Ia sekadar mengajak kita untuk berhati-hati dan peka. Malah majoriti pengguna Facebook tidak melakukan sebarang transaksi kewangan dengan syarikat itu kecuali yang menyertai skim ditawarkan (ini memerlukan perbincangan berasingan).

Kesimpulannya :

Hukum membuka akaun dan menggunakan Facebook adalah HARUS selagi tidak terbukti ia menggunakan pengaruh dan keuntungannya untuk menyerang Islam atas nama Facebook sama ada melalui dana kepada Yahudi, Amerika Syarikat dan lainnya.

Bagi mereka yang masih tidak selesa dengan latar belakang pengasas dan syarikat Facebook, mereka dinasihatkan TIDAK MEMBUKA DAN MENYERTAI FACEBOOK. Mereka boleh terus memberi nasihat kepada pengguna Facebook supaya sentiasa berhati-hati namun tidak boleh dengan sewenangnya menuduh pengguna facebook melakukan perkara haram.



Bagi mereka yang ingin mengambil sikap lebih berhati-hati mereka disarankan supaya :
· memanipulasi akaun Facebook untuk manfaat Islam melebihi kepentingan peribadi. Ruang yang ada wajar digunakan untuk mempromosi kefahaman Islam melalui tulisan, video, audio dan sebagainya.
· Hadkan dan kurangkan perbincangan soal remeh temeh peribadi yang membuang masa diri dan orang lain. Tidak sehingga berkongsi terlalu banyak gambar peribadi (khususnya bagi wanita) sejak zaman kanak-kanak tanpa had kerana ia bakal membawa mudarat berbanding manfaat, kerana ia akan kekal di Facebook orang yang dikongsi dan juga syarikat facebook itu sendiri.
· Tidak memasukkan perincian peribadi yang sensitif khususnya seperti akaun bank, taraf kesihatan dan sebagainya. Cukuplah sekadar menyertakan nama, tarikh lahir dan pendidikan.
· Tidak terbabit dengan permainan dan aplikasi yang dijangka bercanggah dengan Islam seperti kuiz ramalan nasib. Sama ada atas dasar 'main-main' atau sebagainya.
· Tidak mempercayai tilik moden seperti rahsia tarikh kelahiran dan sepertinya yang terkandung dalam aplikasi percuma Facebook. Sama ada atas dasar 'main-main' atau sebagainya.

KeNaNGan LaLu..

Salam sejahtera ke atas kamu.

Kebosanan mula menerjah ke dalam diri aku pada waktu ini. Bagi menghilangkan rasa kebosanan tersebut, aku membuka satu laman web sosial yang terkenal di seluruh dunia pada masa kini iaitu facebook. Sedang aku membelek facebook, aku terlihat satu ‘group’ yang menyimpan 1000 kenangan suka dan duka. Kemudian aku cuba mengimbau satu persatu kenangan tersebut dan aku ketawa sendirian bila teringatkannya. Di sanalah aku mengenal erti persabahabatan, percintaan, kepimpinan dan segalanya yang membentuk aku menjadi seorang insan.


Sekolah Menengah Kebangsaan Bunut Susu dalam kenangan

Detik pertama aku menjejak kaki ke sekolah tersebut pada tahun 2000, mulanya aku berasa takut-takut. Namun aku rasa bertuah kerana aku dikurniakan guru dan kawan-kawan yang begitu mengambil berat tentang diri aku. Terima kasih guru,terima kasih kawan-kawan. Tanpa anda semua, mungkin warna kehidupan aku tidak mungkin penuh dengan warna-warni.

Satu kenangan manis yang tidak mungkin dilupakan apabila aku telah diberikan kepercayaan oleh ibu bapa kawan-kawan aku untuk membantu mereka dalam pelajaran. Pada waktu itu, hanya tuhan sahaja tahu perasaan aku. Walaupun aku bukanlah seorang pelajar yang pintar, namun aku cuba membantu kawan-kawan yang agak lemah dalam pelajaran. Sekarang alhamdulilah, syukur kepada Allah s.w.t kerana rata-rata kawan aku telah berjaya melanjutkan pelajaran sampai ke peringkat yang lebih tinggi. Selain itu, ada juga kawan-kawan aku yang sudah memiliki kerjaya sendiri.

Manakala satu kenangan pahit yang tidak mungkin aku lupakan ialah keputusan SPM aku tidak mencapai target yang aku mahukan. Pada waktu itu, aku sungguh kecewa dan malu terhadap keluarga, guru dan kawan-kawan. Namun begitu, kenangan pahit ini aku jadikan sebagai pengajaran dan peringatan dalam menempuh liku-liku kehidupan pada masa kini.

Sebenarnya banyak cerita yang aku mahu kongsikan dengan anda dalam coretan ini, namun jika aku ceritakan semuanya, mungkin coretan ini menjadi sebuah kitab purba. Setakat ini saja lah coretan aku pada kali ini. Yang baik datangnya daripada Allah s.w.t dan yang lemah datangnya daripada kelemahan aku sendiri. Sekian

Comments

PeRiNGaTan KePaDa TeMan-TeMan..

Semenjak akhir-akhir ini, aku telah ketandusan idea untuk menulis dalam ruangan ini. Aku cuba mendapatkan idea ke serata tempat, namun ia tidak datang-datang kepadaku. Sesungguhnya idea atau ilham merupakan satu anugerah daripada Allah s.w.t kepada umatNya. Justeru itu, manusia yang mendapat idea atau llham perlulah memanfaatkan ke arah jalan kebaikan dan seterusnya mendapatkan keredhaanNya.

Pada hari ini, satu khabar berita peringatan telah sampai ke telinga aku. Dalam berita tersebut, setiap anggota masyarakat khususnya rakyat Malaysia agar tidak cuba mencetuskan khabar palsu atau berita sensasi berhubung sensitiviti agama termasuk isu membakar gereja melalui laman blog atau laman sembang sosial. Hal ini berikutan polis kini sedang memantau sepenuhnya maklumat berkenaan.

Difahamkan, polis menubuhkan satu pasukan khas memantau semua laman web dan blog yang dibimbangi cuba dijadikan alat pihak tertentu bagi mewujudkan kebimbangan masyarakat selain penyebaran maklumat palsu. Pasukan khas terbabit turut bertanggungjawab mengesan individu atau maklumat yang boleh membantu polis menjejaki individu yang terbabit kejadian serangan dan membakar beberapa gereja baru-baru ini.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin berkata polis kini memberi perhatian serius terhadap sebarang maklumat yang boleh dikaitkan dengan insiden terbabit.

Sebagai bukti pihak polis memantau semua laman web dan blog yang dibimbangi cuba dijadikan alat pihak tertentu bagi mewujudkan kebimbangan masyarakat selain penyebaran maklumat palsu, seorang pelajar Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas tuduhan membuat komen di laman sosial Facebook iaitu "ke nak aku baling bom petrol di sana plak...harga boleh dirunding' yang bersifat mengancam. Menurut kertas pendakwaan, komen pelajar terbabit bersifat mengancam dengan niat mengganggu orang lain.

Akibat daripada kesalahan tersebut, beliau telah didakwa kerana melakukan kesalahan di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Jika disabit kesalahan, pelajar terbabit boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya sekali.

Oleh itu, dengan rasa penuh tanggungjawab, aku menyeru kepada semua kawan-kawan aku supaya tidak cuba mencetuskan khabar palsu atau berita sensasi berhubung sensitiviti agama termasuk isu membakar gereja melalui laman blog atau laman sembang sosial. Sekian

Comments

KiSaH TeLaDan : SiFaT DeNGki..



Tiga orang budak hitam berjalan-jalan di atas pasir di persisiran sebuah pantai. Tiba-tiba seorang dari mereka tertendang sebiji botol. Beliaupun mengambil botol tersebut. Botol tersebut tertutup rapat dengan penutup gabus. Kesemua mereka kehairanan dan tertanya-tanya apa yang ada di dalam botol tersebut. Lalu salah seorang dari mereka pun membukanya. Terbuka sahaja botol tersebut, keluarlah seekor jin yang amat besar.

Jin tersebut ketawa-terbahak-bahak lalu berkata " Siapakah engkau hai manusia yang telah membebaskan aku? Aku telah terkurung dalam botol ini selama 20 tahun. Dalam masa terkurung aku telah bersumpah akan menyempurnakan 3 hajat sesiapa yang membebaskan aku dari botol ini.. Nah! Sekarang kamu semua pintalah apa-apa, akan aku tunaikan permintaanmu"

Ketiga-tiga budak hitam itu mulanya terkejut tetapi bergembira apabila jin tersebut menawarkan untuk menunaikan permintaan mereka. Jin pun berkata kepada budak yang pertama, " Pintalah!" Budak hitam pertama pun berkata . "Tukarkanlah aku menjadi putih supaya aku kelihatan cantik" Jin pun menunaikan permintaannya. Lalu budak itu pun menjadi putih. Jin pun berkata kepada budak hitam kedua,"Pintalah!".

Budak hitam kedua pun berkata ." Tukarkanlah aku menjadi putih dan kelihatan cantik, lebih putih dan cantik daripada budak yang pertama". Jin pun menunaikan permintaannya. Lalu budak itu pun menjadi putih dan cantik lebih daripada budak yang pertama. Jin pun berkata
kepada budak hitam ketiga, "Pintalah!". Budak hitam ketiga pun berkata ."Tukarkanlah aku menjadi putih dan kelihatan cantik, lebih putih dan cantik daripada budak yang pertama dan kedua".

Jin pun berkata. " Tidak, permintaan itu tidak dapat aku perkenankan. Pintalah yang lain..." Budak hitam ketiga kehairanan dan terfikir-fikir apa yang mahu dipintanya.

Setelah lama berfikir, budak hitam ketiga pun berkata " Kalau begitu, aku pinta kau hitamkan kembali rakan aku yang dua orang itu" Lalu jin pun tunaikan permintaannya. Kembalilah asal hitam kedua-duanya. Jin pun berlalu dari situ dan ketiga-tiga mereka tercengang-cengang dan tidak memperolehi sesuatu apa pun.


Moral:
Sikap dengki, cemburu dan irihati seringkali bersarang di hati manusia. Manusia tidak suka melihat orang lain lebih dari mereka dan mengharapkan mereka lebih dari orang lain. Mereka juga suka melihat nikmat orang lain hilang. Sikap ini sebenarnya pada akhirnya merugikan manusia sendiri.

Comments

LaMaN WeB SoSiAL : CiNTa CyBeR

Salam sejahtera dan salam perpaduan.

Tadi aku berkesempatan untuk membaca akhbar melalui internet. Dalam akhbar tersebut aku amat tertarik dengan artikel berkaitan dengan “penangan” laman web sosial. Pada masa kini, tidak dinafikan banyak laman web sosial yang memudahkan kita berhubung dengan rakan-rakan sama ada rakan lama atau rakan baru. Antara laman web sosial yang popular ialah facebook, friendster, myspace, tagged dan lain-lain. Kewujudan laman web sosial ibarat ‘cendawan tumbuh selepas hujan’ kerana ia mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pengguna internet. Namun begitu, harus diingat bahawa kebanyakan benda yang dicipta mempunyai impak postif dan negatif. Di sini aku selitkan beberapa kes yang menunjukkan impak negatif penggunaan laman web sosial.


Kes 1:-dipetik daripada sumber harian metro

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Azie, 21, ketika ditemui berkata, dia berkenalan dengan seorang jejaka berumur 20 tahun bernama Muaz melalui sebuah laman sosial popular di Internet. “Selepas seminggu berkenalan melalui laman Myspace, saya mula jatuh cinta kepadanya dan kami berjumpa buat kali pertama di sebuah pusat beli-belah,” katanya yang juga penuntut pengajian syariah di sebuah kolej swasta di ibu negara. Selepas hampir dua bulan berkenalan, kekasihnya mula menunjukkan belang apabila kerap memujuk gadis berasal dari Sabah itu untuk melakukan hubungan seks. “Saya tak menyangka dia akan meminta melakukan perkara terkutuk itu kerana dia berasal daripada keluarga yang warak. “Walaupun beberapa kali menolak permintaannya, godaan syaitan lebih dahsyat hingga saya layu di pangkuannya,” katanya yang kini hamil dua bulan hasil hubungan terlarang itu. Selepas disahkan mengandung, lelaki itu mula bersikap lepas tangan apabila enggan bertanggungjawab.


Kes 2:-

Seorang lagi mangsa, Rozie, 20, dari Ampang tidak menyangka perkenalan dengan seorang jejaka melalui laman sosial Facebook bakal menjadi titik hitam dalam hidupnya. Katanya, menerusi laman sosial itu, Boy dilihat seolah-olah tidak mempunyai ramai rakan perempuan berikutan tiada kenalan wanita dalam senarai sahabatnya. “Ini menyebabkan saya menganggap Boy bukan kaki perempuan dan boleh dipercayai. “Kami bertemu buat kali pertama apabila dia mengajak saya ke majlis hari jadi rakannya,” kata Rozie yang jatuh cinta dengan Boy yang bersopan santun dan pandai menjaga hatinya. “Di tempat kerja, saya kerap diganggu lelaki, tetapi Boy pula sering mengambil berat dengan menjaga saya daripada diganggu mereka,” katanya yang bertugas sebagai pakar kecantikan di ibu kota. Akibat terlalu percayakan lelaki itu, Rozie mengandung hasil hubungan terlarang mereka selepas setahun menjalin cinta. “Boy menyuruh saya menggugurkan kandungan dengan alasan belum bersedia menjadi bapa, tetapi saya enggan menyebabkan dia meninggalkan saya tanpa khabar berita.


Kes 3:

Turut berkongsi masalah sama, Wani, 25, pelajar kolej swasta di Pahang. Perkenalan dengan Zul, jejaka dari Melaka menjadikannya hilang pedoman sehingga terlanjur, tetapi lelaki itu enggan bertanggungjawab. “Kami berjumpa selepas tiga minggu berkenalan melalui laman sosial Friendster. “Zul sanggup datang dari Melaka ke Pahang semata-mata untuk bertemu saya ketika kami bermadu kasih. Kini, terpaksa menangguh pengajian dalam bidang perakaunan kerana hamil dua bulan.


P/S: Setiap perkara atau benda ada kebaikan dan keburukannya tersendiri. Oleh itu kita diberikan akal seharusnya pandai menilai dan membuat pilihan yang terbaik untuk mendapatkan keredhaanNya.

Comments

ALHaMdULiLah..PiNaNgan Ku DITeRiMA..


Salam perpaduan dan salam 1 Malaysia.

Setelah sekian lama aku cuba mengintai peluang untuk mencari pendapatan daripada media pengiklanan, akhirnya aku telah tertarik dengan beberapa media pengiklanan. Antara media pengiklanan yang berjaya mencuri perhatian aku ialah advertlets dan nuffnang. Namun begitu, aku lebih tertarik dengan advertlets kerana pemblogger mungkin mampu menjana pendapatan di luar jangkaan iaitu RM 500 sehingga RM 800 sebulan. Sebelum ini aku terdengar juga bahawa ramai pemblogger mengatakan advertlets ini adalah scam ( tidak membayar pendapatan ahlinya ). Hal ini aku tidak dapat pastikan lagi kebenarannya dan kini aku tetap sabar menanti pembayaran daripada pihak advertlets. Dalam aku membuat kajian tentang bukti pembayaran oleh pihak advertlets, aku menemukan beberapa bukti segelintir pemblogger telah mendapat cek @ pembayaran. Cuma kata mereka, kita harus sabar menunggu dan perlu memaklumkan kepada pihak advertlets jika ada masalah cek tidak sampai-sampai.

Kini, aku cuba mencari media pengiklanan yang baru dan aku telah diperkenalkan dengan media pengiklanan Innity. Perkara yang menarik tentang Innity ialah ianya satu-satunya media pengiklanan internet di Malaysia yang mempunyai status MSC. Innity dimulakan pada tahun 1999 sebagai syarikat yang menawarkan rekabentuk dan pembangunan web, dan bertukar ke arah syarikat pengiklanan dalam talian tidak lama kemudian. Kini mereka menguruskan pengiklanan di beberapa laman terkemuka seperti Gua dan laman-laman MediaPrima – TV3, ntv7, TV8, TV9.

Setelah membuat sedikit kajian terhadap media pengiklanan Innity, aku sangat tertarik untuk meminang dan seterusnya menjadi salah seorang ‘publisher’ iklan mereka. Dalam cubaan meminang media pengiklanan Innity, terdapat beberapa kriteria-kriteria yang perlu dipatuhi. Antaranya ialah ‘minimum page view 10000 per month and unique visitor 5000’. Setelah aku cuba berdeduksi dengan pihak Innity, akhirnya pinangan untuk menjadi ahli media pengiklanan Innity telah diterima.

Akhir kata, aku harap aku mampu menjana pendapatan yang kencang daripada pihak Innity. Kepada pihak Advertlets, aku harap pihak anda melunaskan pembayaran pendapatan aku supaya aku juga tidak menjaja pihak anda adalah scam. sekian

Comments

PeNGumUMan : PeRUbaHAn DOMaiN

Salam sejahtera ke atas kamu..

Tatkala aku bersendirian di dalam bilik, aku rasa kesunyian yang amat sangat. Aku cuba mendengar dendangan lagu di laptop namun perasaan ku tetap sama, tidak ‘berganjak’. Kemudian aku terus melayan perasan sendirian dan akhirnya aku tertidur di depan laptop.

Setelah lebih kurang 2 jam aku tertidur, aku pun terjaga kerana kehausan. Niat aku sebenarnya untuk sambung tidur selepas minum air namun mataku susah untuk lelap. Kemudian aku cuba membelek-belek laptop kesayangan dan terlintas di fikiran untuk mengubah domain blog. Aku cuba untuk mengubahnya sendiri berpandukan toturial daripada sebuah blog namun terdapat beberapa kekeliruan dalam toturial yang diberi. Lalu aku teringatkan seorang kawan, yang mana beliau sangat arif dalam bidang IT. Maka aku menghubungi beliau dan belum sempat aku ingin meminta tolong beliau untuk mengubah domain blog, beliau terlebih dahulu menawarkan bantuan. Kini dengan bantuan beliau, url blog aku tidak lagi menggunakan ‘http://encikkesayangan.blogspot.com’ tetapi ‘http://www.afizuddin.co.cc/’. Pada mulanya aku ingin sangat menggunakan url ‘http://www.fiz.co.cc/’ namun aku perlu membayar sebanyak $5 untuk mendapatkan url tersebut dan aku rasa tidak perlu untuk berbuat demikian.

Kini dengan domain yang baru bersertakan url yang tampak lebih ringkas, aku mula bersemangat untuk terus menulis dalam ruangan ini. Melalui perubahan domain url blog ini, aku harap lebih ramai pelawat yang akan singgah dalam blog ini walaupun ia banyak mengisarkan tentang kehidupan seharian seorang insan yang bernama ‘fiz mr.beloved. Sekian.

Comments

XP vs 7

Salam sejahtera dan salam 1 Malaysia.

Dewasa ini, windows XP tidak asing lagi kepada kita semua terutama mereka yang sentiasa menggunakan laptop atau desktop. Daripada hasil pengamatan yang aku buat, windows XP merupakan Os yang terbaik dalam keluaran syarikat microsoft. Hal ini tidak dapat disangkal apabila ramai orang menggunakan perisian windows XP sama ada di pejabat-pejabat ataupun milik persendirian. Oleh kerana itu, aku sendiri telah menggunakan windows XP sebagai Os laptopku.

Namun begitu, pada akhir-akhir ini, windows XP yang dipasangkan di laptop aku sering kali mengalami masalah. Jika sekali sekala tidak mengapa tetapi masalah tersebut kerap berlaku dan aku mula rasa ‘fed up’ dengan windows XP. Antara masalah yang sering kali berlaku ialah ‘windows not genuine’. Permasalahan ini adalah berpunca daripada salah aku sendiri kerana tidak menggunakan windows XP yang original. Hasil daripada soal selidik yang aku buat secara rambang, rata-rata pelajar menggunakan windows XP crack, sama seperti aku. Masakan tidak, harga bagi windows XP original ialah RM300+ dan ramai yang tidak mampu membelinya.

Setelah sekian lama aku menggunakan windows XP dan merasai kepantasan Os tersebut, kini aku mula untuk mencuba keluaran terbaru Microsorf iaitu windows 7. windows 7 merupakan penyelamat kepada kegagalan windows Vista. Windows Vista dianggap sebagai projek mega Microsorf yang tidak berjaya dan ramai yang mengadu kegagalan Os tersebut dalam memenuhi ciri-ciri yang dimahukan pengguna. Untuk membuktikannya, aku pernah menggunakan Windows Vista selama tempoh percubaan 2 minggu. Ternyata hasilnya sangat mengecewakan kerana banyak sorfware tidak dapat diinstall, dek kerana disekat sistem Os tersebut. Selepas itu, aku kembali menggunakan windows XP.

Kini setelah aku membuat sedikit kajian tentang windows 7, ramai pengguna memberikan respon yang positif terhadap Os tersebut. Oleh itu, pada hari ini , aku ingin mencuba menggunakan windows 7. Daripada pengamatan aku, windows 7 boleh diiktirafkan sebagai Os paling berjaya kerana banyak menawarkan ciri-ciri yang lebih menarik dari segi grafik dan kepantasan bekerja adalah sepantas windows XP. Namun begitu, aku tidak boleh puji lebih-lebih kerana aku ingin bersikap adil. Jika dahulu tempoh percubaan menggunakan windows Vista adalah selama 2 bulan, aku juga akan memberikan tempoh percubaan selama 2 bulan terhadap windows 7.

Akhir kata aku harap windows 7 dapat mengekalkan prestasi yang cemerlang supaya aku tidak lagi beralih kepada windows XP yang boleh dianggap sebagai ketinggalan zaman. Sekian.

Comments

FeNoMENa FaCeBOOk..

Salam perpaduan dan salam 1 Malaysia.

Logo diatas mungkin tidak asing lagi kepada kita semua, ia merupakan sebuah laman sosial yang begitu popular dalam kalangan masyarakat dunia pada masa kini. Menurut hasil pemerhatian yang aku jalankan, facebook telah berjaya mencuri perhatian dan minat pelbagai golongan iaitu golongan dewasa,remaja yang sudah bekerja mahupun yang masih berstatus pelajar.

Fenomena tsunami facebook begitu cepat menular dalam masyarakat kita pada masa kini. Ekoran daripada itu, kerajaan Malaysia cuba manfaatkan laman sosial tersebut dalam merealisasikan matlamat 1 Malaysia. Daripada pemerhatian aku, keahlian dalam facebook 1 Malaysia begitu ramai dan ia menunjukkan kejayaan terhadap pendekatan yang digunapakai. Selain itu, PDRM turut mengambil insentif mengggunakan facebook sebagai ‘platform’ dalam mendekati rakyat dan mereka mengharapkan pendekatan tersebut dapat mengurangkan kadar jenayah di Malaysia

Mengikut statistik tahun 2007, pengguna facebook menjangkau 140 juta orang. Tetapi baru-baru ini, facebook mengeluarkan kenyataan bahawa penggunanya meningkat kepada 240 juta orang. Satu angka yang cukup besar dalam tempoh setahun. Jadi tidak hairanlah jika facebook boleh menjana pendapatan hingga AS$300 juta pada tahun 2008. Pada tahun 2009 sehingga tahun 2010, aku belum mendapatkan statistik daripada sumber yang sah untuk diletakkan di sini.

Baiklah, di sini aku mahu berkongsi beberapa fakta yang menarik berkaitan dengan “facebook”- sumber daripada internet

  • Facebook adalah milik Mark Zuckerberg. Dia adalah mahasiswa harvard university dan aktif sebagai anggota Alpha Epsilon Pi. What is Alpha Epsilon Pi? baca artikel ini untuk mengetahui lebih lanjut

  • Alpha Epsilon Pi ialah perkumpulan mahasiswa yahudi di Amerika Utara, yang mempunyai misi sebagai berikut :

Alpha Epsilon Pi, the Jewish Fraternity of North America, was founded to provide opportunities for Jewish men seeking the best possible college and fraternity experience. We have maintained the integrity of our purpose by strengthening our ties to the Jewish community and serving as a link between high school and career. Alpha Epsilon Pi develops leadership for the North American Jewish community at a critical time in a young man's life. Alpha Epsilon Pi's role is to encourage the Jewish student to remain dedicated to Jewish ideals, values, and ethics and to prepare the student to be one of tomorrow's leaders so that he may help himself, his family, his community, and his people.

Secara ringkas hasil daripada teks ialah facebook merupakan satu laman sosial untuk mencari pemimpin kaum yahudi.

  • Facebook mendapat keuntungan daripada iklan yang dipasang dan keuntungan tersebut digunakan untuk membiayai peperangan Israel terhadap Palestin.

Akhir sekali, aku berhasrat untuk mendapat pendapat serta pandangan anda semua tentang facebook. Semoga perkongsian maklumat bersama dapat mendapatkan merungkai segala permasalahan yang timbul. Sekian..

Comments

SeKaDAr CoReTaN BiAsa..

Salam sejahtera dan salam 1 Malaysia.

Disaat aku mengarang coretan ini, aku berada di atas katil bujangku. Pada hari ini, terdapat satu sesi kuliah yang berjaya menarik perhatian dan minat aku. Ternyata aku tidak tersalah pilih untuk mengikuti kertas novel Melayu kerana ia banyak membincangkan pelbagai kaedah atau langkah dalam menghasilkan sesuatu penulisan yang baik sama ada dalam menghasilkan novel mahupun sebarang bentuk penulisan yang bermutu dan kreatif.

Daripada hasil kuliah yang disampaikan oleh pensyarah tadi, banyak input-input yang boleh digunakan dalam proses penulisan. Antara input tersebut ialah sebelum manghasilkan sebarang bentuk penulisan yang bermutu, kita perlu banyak mengumpul idea, memantapkan idea dan mengembangkan idea supaya menjadi satu kesatuan idea dan seterusnya diungkapkan dalam tulisan atau penulisan. Selain itu, kita perlu banyak membaca hasil penulisan orang lain. Tujuannya bukan untuk mencedok idea penulisan orang lain tetapi untuk mengembangkan idea yang sedia ada. Di samping itu, penulis juga perlu mendapat komen sama ada daripada penulis yang lebih berpengalaman mahupun orang ramai. Tanpa komen daripada mereka, sesebuah penulisan tidak mungkin dapat dinilai sama ada ia adalah baik atau sebaliknya

Dalam memperkatakan bidang penulisan, semua orang mampu menulis tetapi bukan semua orang mampu untuk menghasilkan penulisan yang baik. Hal ini kerana idea dan ilham untuk menulis merupakan satu anugerah daripada Tuhan kepada seseorang. Selain itu, terdapat juga segelintir orang yang mempunyai bakat dalam menghasilkan bentuk tulisan yang baik. Namun jika bakat tersebut tidak diasah, ia tidak mempunyai apa-apa makna atau ianya sekadar berkubur sebagai bakat terpendam.

Kini dengan input-input yang aku dapat, aku cuba untuk menjadi seorang penulis yang baik tetapi aku sedar bahawa harapanku agak tinggi menggunung dan tidak mungkin dicapai. Hal ini kerana kebanyakan coretan yang aku hasilkan berkisarkan kehidupan aku seharian dan tidak mungkin ramai orang untuk membaca bahkan memberikan komen. Namun kita tidak seharusnya takut untuk mencuba dan jangan takut untuk gagal.



Comments

KiNi KeMBaLi..

Salam sejahtera dan salam 1 Malaysia..

Setelah sekian lama aku menyepikan diri, kini aku kembali pulih dengan semangat dan azam yang baru. Sebenarnya sudah lama aku cuba untuk menulis dalam ruangan ini namun hasratku selalunya tidak tercapai, mungkin ketandusan idea.

Sedar tidak sedar kita sudah memasuki tahun baru 2010. Rasanya belum terlambat untuk aku mengucapkan selamat tahun baru kepada pembaca khususnya mereka yang telah menjadi pengikut blog aku. Tanpa sokongan anda, blog ini tidak mempunyai apa-apa makna melainkan ia sebuah coretan peribadi buat diriku.

Bercakap tentang tahun baru, apakah azam anda semua?. Aku percaya mesti setiap orang daripada anda mempunyai azam atau impian kan. Sama la seperti aku. Aku kini berazam untuk memperbaiki diri kerana banyak kelemahan terdapat dalam diri. Orang kata setakat berazam sahaja tidak mampu mengubah apa-apa, melainkan ia disusuli dengan usaha ke arahnya disamping sentiasa berdoa kepada Allah swt. Jika niat kita murni, InsyaAllah azam atau impian kita akan tercapai.

Sebelum malam tahun baru, ada beberapa temanku mengajak untuk sama-sama meraikannya. Tetapi entah mengapa aku tidak mempunyai mood bagi meraikannya. Pada malam tersebut aku hanya melepak dekat bilik. Tetiba aku dapat mesej melalui yahoo messenger. Mesejnya adalah untuk beritahu bahawa meraikan malam tahun baru, hukumnya adalah murtad bagi mereka yang mengetahui hukum tersebut manakala hukumnya adalah fasik bagi mereka yang tidak mengetahui tetapi meraikannya. Hal ini kerana pada malam itu juga, golongan yahudi merayakan tuhan mereka. Aku sangat berterima kasih kepada penghantar mesej tersebut kerana memberikan info tersebut.

Setakat ini sajalah coretan aku kali ini, mungkin aku sudah ketandusan idea. Jika aku tidak mengadap laptop, macam-macam idea untuk menulis tetapi bila berhadapan dengan laptop, otakku blank. Sekian..

Powered by Blogger | Converted by BloggerTheme