PeRiNGaTan KePaDa TeMan-TeMan..

Semenjak akhir-akhir ini, aku telah ketandusan idea untuk menulis dalam ruangan ini. Aku cuba mendapatkan idea ke serata tempat, namun ia tidak datang-datang kepadaku. Sesungguhnya idea atau ilham merupakan satu anugerah daripada Allah s.w.t kepada umatNya. Justeru itu, manusia yang mendapat idea atau llham perlulah memanfaatkan ke arah jalan kebaikan dan seterusnya mendapatkan keredhaanNya.

Pada hari ini, satu khabar berita peringatan telah sampai ke telinga aku. Dalam berita tersebut, setiap anggota masyarakat khususnya rakyat Malaysia agar tidak cuba mencetuskan khabar palsu atau berita sensasi berhubung sensitiviti agama termasuk isu membakar gereja melalui laman blog atau laman sembang sosial. Hal ini berikutan polis kini sedang memantau sepenuhnya maklumat berkenaan.

Difahamkan, polis menubuhkan satu pasukan khas memantau semua laman web dan blog yang dibimbangi cuba dijadikan alat pihak tertentu bagi mewujudkan kebimbangan masyarakat selain penyebaran maklumat palsu. Pasukan khas terbabit turut bertanggungjawab mengesan individu atau maklumat yang boleh membantu polis menjejaki individu yang terbabit kejadian serangan dan membakar beberapa gereja baru-baru ini.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin berkata polis kini memberi perhatian serius terhadap sebarang maklumat yang boleh dikaitkan dengan insiden terbabit.

Sebagai bukti pihak polis memantau semua laman web dan blog yang dibimbangi cuba dijadikan alat pihak tertentu bagi mewujudkan kebimbangan masyarakat selain penyebaran maklumat palsu, seorang pelajar Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas tuduhan membuat komen di laman sosial Facebook iaitu "ke nak aku baling bom petrol di sana plak...harga boleh dirunding' yang bersifat mengancam. Menurut kertas pendakwaan, komen pelajar terbabit bersifat mengancam dengan niat mengganggu orang lain.

Akibat daripada kesalahan tersebut, beliau telah didakwa kerana melakukan kesalahan di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Jika disabit kesalahan, pelajar terbabit boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya sekali.

Oleh itu, dengan rasa penuh tanggungjawab, aku menyeru kepada semua kawan-kawan aku supaya tidak cuba mencetuskan khabar palsu atau berita sensasi berhubung sensitiviti agama termasuk isu membakar gereja melalui laman blog atau laman sembang sosial. Sekian

Comments
Powered by Blogger | Converted by BloggerTheme