KeNaNGan LaLu..

Salam sejahtera ke atas kamu.

Kebosanan mula menerjah ke dalam diri aku pada waktu ini. Bagi menghilangkan rasa kebosanan tersebut, aku membuka satu laman web sosial yang terkenal di seluruh dunia pada masa kini iaitu facebook. Sedang aku membelek facebook, aku terlihat satu ‘group’ yang menyimpan 1000 kenangan suka dan duka. Kemudian aku cuba mengimbau satu persatu kenangan tersebut dan aku ketawa sendirian bila teringatkannya. Di sanalah aku mengenal erti persabahabatan, percintaan, kepimpinan dan segalanya yang membentuk aku menjadi seorang insan.


Sekolah Menengah Kebangsaan Bunut Susu dalam kenangan

Detik pertama aku menjejak kaki ke sekolah tersebut pada tahun 2000, mulanya aku berasa takut-takut. Namun aku rasa bertuah kerana aku dikurniakan guru dan kawan-kawan yang begitu mengambil berat tentang diri aku. Terima kasih guru,terima kasih kawan-kawan. Tanpa anda semua, mungkin warna kehidupan aku tidak mungkin penuh dengan warna-warni.

Satu kenangan manis yang tidak mungkin dilupakan apabila aku telah diberikan kepercayaan oleh ibu bapa kawan-kawan aku untuk membantu mereka dalam pelajaran. Pada waktu itu, hanya tuhan sahaja tahu perasaan aku. Walaupun aku bukanlah seorang pelajar yang pintar, namun aku cuba membantu kawan-kawan yang agak lemah dalam pelajaran. Sekarang alhamdulilah, syukur kepada Allah s.w.t kerana rata-rata kawan aku telah berjaya melanjutkan pelajaran sampai ke peringkat yang lebih tinggi. Selain itu, ada juga kawan-kawan aku yang sudah memiliki kerjaya sendiri.

Manakala satu kenangan pahit yang tidak mungkin aku lupakan ialah keputusan SPM aku tidak mencapai target yang aku mahukan. Pada waktu itu, aku sungguh kecewa dan malu terhadap keluarga, guru dan kawan-kawan. Namun begitu, kenangan pahit ini aku jadikan sebagai pengajaran dan peringatan dalam menempuh liku-liku kehidupan pada masa kini.

Sebenarnya banyak cerita yang aku mahu kongsikan dengan anda dalam coretan ini, namun jika aku ceritakan semuanya, mungkin coretan ini menjadi sebuah kitab purba. Setakat ini saja lah coretan aku pada kali ini. Yang baik datangnya daripada Allah s.w.t dan yang lemah datangnya daripada kelemahan aku sendiri. Sekian

Comments Links to this post
Powered by Blogger | Converted by BloggerTheme