Gelora Bung Karno Ibarat 'Zon Perang'


Kejayaan Malaysia menjulang Piala Suzuki AFF 2010 benar-benar melonjakkan kembali semangat dan keyakinan rakyat terhadap bola sepak negara. Bagaimanapun perjalanan untuk meraih kejayaan itu tidak ditempuh dengan mudah.

Ikuti pengalaman AZLAN MUHAMMAD ZAIN ketika membuat liputan aksi final kedua kejohanan itu dalam gelora lautan merah di Stadium Gelora Bung Karno. 

“TERASA tercabar juga apabila lagu Negaraku dihina oleh penyokong Indonesia yang membuat bising tanpa sedikit pun rasa bersalah ketika ia berkumandang pada aksi final kedua Piala Suzuki AFF, Rabu lalu.

Malah sejak tiba di Jakarta dua hari sebelum final itu, sentimen anti-Malaysia yang sememangnya wujud sejak beberapa tahun ini semakin menebal di kalangan penduduk di republik itu di tambah pula dengan kemenangan 3-0 memihak Malaysia pada final pertama.


Perjalanan yang dilalui skuad kebangsaan cukup berliku apabila dimalukan, dikritik, dihina dan terpaksa mengharapkan pasukan lain untuk mara ke peringkat separuh akhir sebelum bangkit bagaikan Harimau Malaya yang kelaparan dengan menyingkirkan juara bertahan, Vietnam.

Mara dengan gagah mengharungi lautan merah pada peringkat separuh akhir, satu lagi lautan merah yang lebih dahsyat menanti barisan pemain muda negara di final, kali ini lawan yang dianggap lebih sukar kerana situasi dan isu semasa yang mencetuskan ketegangan di antara dua negara.

Skuad bimbingan ketua jurulatih kebangsaan, K Rajagopal mengharunginya dengan baik di final pertama pada aksi di Stadium Nasional, Bukit Jalil dengan menumbangkan Indonesia sebelum terbang bersemangat untuk menghadapi final kedua di Jakarta.

Penyokong Sang Garuda pula sudah bersedia untuk ‘menyambut’ Harimau Malaya dengan pelbagai cara dan perangai bermula di saat pemain kebangsaan menjejakkan kaki di bumi republik itu seterusnya di hotel penginapan pemain, sesi latihan dan kemuncaknya pada hari perlawanan.

Media massa Indonesia juga terus mengapi-apikan suasana yang sudah tegang dengan menuduh pancaran laser membantu kemenangan 3-0 Malaysia selain didakwa menggunakan bomoh dan serbuk putih yang boleh menyebabkan pemain berasa gatal.

Skuad kebangsaan dihina dengan pelbagai sepanduk seperti “Tim Laser” (Skuad Laser), ‘Laser No...Football Yes’ (Laser Tidak...Bola Sepak Ya) dan ‘Raja Gombal pasti hancur’ (gombal bermaksud kain yang digunakan untuk mengelap kekotoran) dan sebagainya.

Sesi latihan juga tidak dapat dilangsungkan dengan sempurna apabila hanya menjalani latihan ringan sepanjang dua hari sebelum perlawanan final kedua yang berlangsung di gelanggang kebanggaan republik itu, Stadium Gelora Bung Karno.

Mental pemain benar-benar teruji dengan provokasi yang dilakukan oleh penyokong negara jiran itu selain hanya ‘terkunci’ di dalam bilik hotel penginapan malah Rajagopal sendiri bagaikan “mahu meletup” apabila diasak oleh media massa Indonesia yang seolah-olah enggan menerima kekalahan final pertama.

Di setiap pelusuk bandar Jakarta, rakyat republik itu pula tetap bersemangat dengan tidak lekang bercerita mengenai perlawanan final itu malah jika ada yang melihat rakyat Malaysia pasti ada yang menjerit, “Indonesia...Indonesia...Indonesia”.

Kemuncaknya adalah pada hari perlawanan apabila terpaksa menaiki kereta perisai yang dikenali ‘Baracuda ’dari hotel penginapan ke stadium bagi mengelakkan sebarang kekacauan dan keselamatan pemain serta pegawai Malaysia.

Lima Baracuda digunakan oleh pihak keselamatan yang dianggarkan berjumlah 10,000 berkawal di stadium untuk menghadapi lebih daripada 100,000 penyokong fanatik Timnas (skuad kebangsaan Indonesia) dengan setiap satu Baracuda membawa tujuh pemain kebangsaan.

Manakala ratusan peminat Malaysia yang berkunjung ke Jakarta pula hanya menyaksikan perlawanan di Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta selepas Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia hanya memberikan mereka di tempat duduk belakang gawang gol, melalui pintu dua, di tengah lautan penyokong Indonesia.

Keadaan di luar stadium pada hari perlawanan boleh disifatkan sebagai ‘berbahaya’ kepada sesiapa yang memakai baju, jersi atau sebarang tanda yang menunjukkan mereka adalah rakyat Malaysia.

Malah semua petugas media Malaysia yang hadir untuk membuat liputan terpaksa bergerak secara berkumpulan dan memakai baju berwarna “neutral” seperti kelabu, ungu, putih malah ada yang memilih untuk memakai warna merah bagi mengelakkan menjadi tumpuan ramai.

Melihatkan keadaan itu tidak ubah seperti “zon perang” dengan kehadiran sejumlah kereta perisai, unit anti rusuhan dan anggota polis yang lengkap bersenjata berkawal walaupun pada hakikatnya ia adalah perlawanan akhir bola sepak di peringkat Asia Tenggara saja, malah bukannya bagi merebut Piala Dunia.

Puluhan ribu penyokong Sang Garuda pula sudah memenuhi segenap ruang sekitar stadium untuk membentuk lautan merah dengan pelbagai aktiviti jual beli dijalankan termasuklah menjual barangan seperti kemeja-t yang menghina Malaysia

Powered by Blogger | Converted by BloggerTheme