Jentera F1 MP4-12C Di Jalan Raya


Pemandu yang mengimpikan kereta sepantas jentera Formula Satu (F1) kini boleh merasai sendiri pengalaman itu apabila pengeluar kereta lumba F1, McLaren melancarkan kereta sport komersial terbarunya, MP4-12C untuk merancakkan pasaran kereta berprestasi tinggi dunia.

MP4-12C boleh diibaratkan seperti sebuah jentera lumba F1 kerana direka menyamai teknologi canggih pasukan F1 McLaren, tetapi disesuaikan untuk kegunaan di jalan raya.




Pengerusi Eksekutif McLaren, Ron Dennis, berkata buat permulaan, 1,000 unit MP4-12C akan dipasarkan tahun depan dan ditawarkan pada harga sekitar AS$230,000 (RM760,494).

"McLaren Group menjangkakan bakal menerima reaksi positif peminat kereta berkuasa tinggi dan bercadang menambah bilangan unit kepada 4,000 unit menjelang 2015.

"Kami sudah lama mengimpikan untuk mengeluarkan pelbagai kereta sport McLaren bercirikan F1," katanya.

Jentera berkenaan dirasmikan pelumba pasukan McLaren F1, Lewis Hamilton yang juga bekas juara F1 dan rakan sepasukannya, Jenson Button, yang juga juara F1 tahun lalu di Pusat Teknologi McLaren di Woking, England. Menurut Ron, McLaren akan melantik pengedar di 19 negara bagi menjual kereta itu dengan 40 peratus jualan disasarkan ke rantau Amerika Utara.

Kerangka utama jentera berkenaan dibuat daripada gentian karbon dan dijana enjin berkapasiti 3.8 liter V8 dengan pengecas turbo berkembar yang menghasilkan 600 kuasa kuda (hp).

Penggunaan casis ringan dan enjin kecil menjadikan MP4-12C cuma memiliki berat sekitar 81 kilogram dan hanya dilengkapi dua tempat duduk.

Kereta bertaraf Supercar itu hanya mengambil masa 3.4 saat untuk memecut sehingga kelajuan 100 kilometer sejam (km/h) manakala had laju maksimum dicatatkan melebihi 320km/h.

Dengan harga sekitar (RM760,494) seunit, MP4-12C lebih murah berbanding kereta kategori sama seperti Ferrari 458, Lamborghini Gallardo, Porsche 911 Turbo, Bentley Continental GT dan Aston Martin DB9.

Powered by Blogger | Converted by BloggerTheme