Harta Karun Akan Dilelong..

Harta karun ditemui dalam sebuah kapal berusia 1,000 tahun oleh nelayan tempatan bakal dilelong dengan pulangan dianggar mencecah AS$80 juta (RM254.7 juta) Rabu ini bertempat di Jakarta, Indonesia.



Pencari harta karun Belgium, Luc Heymans berkata, jumlah artifak ditemui yang terbesar di Asia dan nilainya setaraf dengan yang tertinggi ditemui dalam kapal Atocha, sebuah kapal Sepanyol yang tenggelam di Florida pada 1622.

Kira-kira 271,000 artifak akan dilelong termasuk, permata rubi, mutiara, barangan kemas, kristal, pinggan mangkuk buatan Iran dan pasu tembikar China yang berusia 976 selepas masihi.

Beliau menyelam pertama kali ke kawasan kapal karam di Cirebon, Jawa Barat pada 2004 dan terkejut melihat harta karun yang tersimpan dalam kapal itu.

“Kawasan itu berukuran 40 kali 40 meter dan ia seperti sebuah gunung tembikar. Beliau langsung tak dapat melihat kayu.” Pasu tembikar ditemui termasuk pasu terbesar Dinasti Liao (907-1125) dan Yue Mise dari lima dinasti (907-960) lengkap dengan warna hijau menandakan ia milik maharaja.

Selain itu, 11,000 mutiara, 4,000 rubi dan 400 delima merah berjaya dibawa ke permukaan dalam 22,000 selaman antara Februari 2004 hingga Oktober 2005.

Namun, masalah bermula selepas harta karun berjaya dinaikkan, termasuk penahanan dua penyelam digaji syarikat Heymans, Cosmix Underwater Research Ltd dan pelabur tempatan, PT Paradigma Putra Sejathera. Selepas bergelut dengan pelbagai masalah, mereka akhirnya dibenar melelong harta karun itu.

Acara lelong dikendalikan kerajaan Indonesia yang bakal memperoleh 50 peratus daripada keuntungan. Pembida, termasuk dari China, Singapura, Jepun dan Taiwan perlu menyimpan deposit AS$16 juta (RM50.93 juta) untuk menyertai bidaan terhadap keseluruhan artifak itu. - AFP

Powered by Blogger | Converted by BloggerTheme