Elak ‘sesak’ di hujung/tengah bulan..



Boleh dikatakan semua orang menghadapi masalah kewangan, kecuali mereka yang sudah mencapai tahap kebebasan kewangan iaitu memiliki tahap kewangan yang kukuh.  Masalah kewangan ini biasanya disebabkan oleh kegagalan atau kesilapan kita dalam merancang kewangan ataupun memang langsung tidak ada perancangan kewangan.

Apabila hujung bulan sahaja, atau lebih parah ketika berada di tengah bulan, duit sudah habis.  Mengapa terjadi begitu?  Ini menunjukkan kegagalan anda merancang kewangan.  Dengan menguruskan kewangan secara bijak, kita mampu berbelanja hanya mengikut kemampuan dan tidak melebihi pendapatan sedia ada.  Keadaan  akan menjadi lebih baik jika anda dapat menyimpan sekitar 10% daripada jumlah pendapatan.

Berikut ada beberapa tip perancangan kewangan yang boleh diamalkan dalam kehidupan seharian anda:

Menentukan matlamat kewangan

Matlamat ini penting supaya anda dapat gambaran awal tentang perkara yang ingin dibuat dengan wang gaji anda untuk tempoh masa tertentu.  Sama ada sebulan, 6 bulan ataupun setahun.  Anda perlu tetapkan sendiri jangka masa untuk merancang dan melaksanakan sesuatu matlamat.  Dalam keadaan begini, biasanya anda akan ada matlamat jangka pendek, sederhana dan panjang.  Contohnya anda merancang untuk membeli set audio terkini, melancong, membeli rumah, berkahwin, simpanan untuk memulakan perniagaan dan sebagainya.  Semua ini harus dirancang dengan berhati-hati agar segala perbelanjaan dapat digunakan secara berhemah.

Nilaikan tabiat perbelanjaan

Sekiranya duit anda habis dengan tujuan yang anda sendiri tidak ketahui dan tidak berbaki langsung pada hujung bulan, anda mesti menilai semula tabiat berbelanja sebelum ini.  Perincikannya dengan lebih teliti.

Apakah barangan yang sudah anda beli sampai habis kesemua duit itu?  Tentukan sama adakah ia barang keperluan ataupun hanya menurut nafsu memenuhi kemahuan anda semata-mata.

Menulis segala perbelanjaan

Menulis apa-apa sahaja perbelanjaan dapat mengesan perbelanjaan anda yang lepas.  Selain itu, cara ini bagi memudahkan anda mengawal perbelanjaan pada masa depan nanti.  Jadi, bolehlah anda membuat satu pelan perbelanjaan yang lebih baik selepas ini.

Anda rancanglah mengikut kedudukan kewangan sendiri sebaik mungkin.  Pelan perbelanjaan anda boleh dibuat berlandaskan panduan berikut:

  • Tuliskan berapa pendapatan bulanan anda
  • Kira keperluan perbelanjaan bulanan anda yang biasa seperti bayaran bil semasa, sewa, perbelanjaan harian, bayaran pinjaman dan lain-lain
  • Khaskan juga perbelanjaan untuk tujuan kecemasan dan bermusim seperti cukai jalan, pembaharuan insuran, yuran persekolahan, musim perayaan dan lain-lain
  • Sekiranya anda masih juga tidak mempunyai baki duit pada akhir bulan, cuba semak semula perbelanjaan anda.
  • Kenal pasti sebarang perbelanjaan yang boleh dikurangkan.  Singkirkan perbelanjaan yang tidak penting.  Jadi ia membolehkan anda menyimpan lebih banyak wang untuk masa depan anda.

Powered by Blogger | Converted by BloggerTheme