LaMaN WeB SoSiAL : CiNTa CyBeR

Salam sejahtera dan salam perpaduan.

Tadi aku berkesempatan untuk membaca akhbar melalui internet. Dalam akhbar tersebut aku amat tertarik dengan artikel berkaitan dengan “penangan” laman web sosial. Pada masa kini, tidak dinafikan banyak laman web sosial yang memudahkan kita berhubung dengan rakan-rakan sama ada rakan lama atau rakan baru. Antara laman web sosial yang popular ialah facebook, friendster, myspace, tagged dan lain-lain. Kewujudan laman web sosial ibarat ‘cendawan tumbuh selepas hujan’ kerana ia mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pengguna internet. Namun begitu, harus diingat bahawa kebanyakan benda yang dicipta mempunyai impak postif dan negatif. Di sini aku selitkan beberapa kes yang menunjukkan impak negatif penggunaan laman web sosial.


Kes 1:-dipetik daripada sumber harian metro

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Azie, 21, ketika ditemui berkata, dia berkenalan dengan seorang jejaka berumur 20 tahun bernama Muaz melalui sebuah laman sosial popular di Internet. “Selepas seminggu berkenalan melalui laman Myspace, saya mula jatuh cinta kepadanya dan kami berjumpa buat kali pertama di sebuah pusat beli-belah,” katanya yang juga penuntut pengajian syariah di sebuah kolej swasta di ibu negara. Selepas hampir dua bulan berkenalan, kekasihnya mula menunjukkan belang apabila kerap memujuk gadis berasal dari Sabah itu untuk melakukan hubungan seks. “Saya tak menyangka dia akan meminta melakukan perkara terkutuk itu kerana dia berasal daripada keluarga yang warak. “Walaupun beberapa kali menolak permintaannya, godaan syaitan lebih dahsyat hingga saya layu di pangkuannya,” katanya yang kini hamil dua bulan hasil hubungan terlarang itu. Selepas disahkan mengandung, lelaki itu mula bersikap lepas tangan apabila enggan bertanggungjawab.


Kes 2:-

Seorang lagi mangsa, Rozie, 20, dari Ampang tidak menyangka perkenalan dengan seorang jejaka melalui laman sosial Facebook bakal menjadi titik hitam dalam hidupnya. Katanya, menerusi laman sosial itu, Boy dilihat seolah-olah tidak mempunyai ramai rakan perempuan berikutan tiada kenalan wanita dalam senarai sahabatnya. “Ini menyebabkan saya menganggap Boy bukan kaki perempuan dan boleh dipercayai. “Kami bertemu buat kali pertama apabila dia mengajak saya ke majlis hari jadi rakannya,” kata Rozie yang jatuh cinta dengan Boy yang bersopan santun dan pandai menjaga hatinya. “Di tempat kerja, saya kerap diganggu lelaki, tetapi Boy pula sering mengambil berat dengan menjaga saya daripada diganggu mereka,” katanya yang bertugas sebagai pakar kecantikan di ibu kota. Akibat terlalu percayakan lelaki itu, Rozie mengandung hasil hubungan terlarang mereka selepas setahun menjalin cinta. “Boy menyuruh saya menggugurkan kandungan dengan alasan belum bersedia menjadi bapa, tetapi saya enggan menyebabkan dia meninggalkan saya tanpa khabar berita.


Kes 3:

Turut berkongsi masalah sama, Wani, 25, pelajar kolej swasta di Pahang. Perkenalan dengan Zul, jejaka dari Melaka menjadikannya hilang pedoman sehingga terlanjur, tetapi lelaki itu enggan bertanggungjawab. “Kami berjumpa selepas tiga minggu berkenalan melalui laman sosial Friendster. “Zul sanggup datang dari Melaka ke Pahang semata-mata untuk bertemu saya ketika kami bermadu kasih. Kini, terpaksa menangguh pengajian dalam bidang perakaunan kerana hamil dua bulan.


P/S: Setiap perkara atau benda ada kebaikan dan keburukannya tersendiri. Oleh itu kita diberikan akal seharusnya pandai menilai dan membuat pilihan yang terbaik untuk mendapatkan keredhaanNya.

Comments
Powered by Blogger | Converted by BloggerTheme