JiWa KaCau...
7:39 AM
fiz mr.beloved
Assalammualaikum dan salam sejahtera.
Pada kali ini aku ingin mengupas sedikit tentang “jiwa kacau”. Topik ini aku coretkan khas untuk golongan remaja yang mengalami ‘jiwa kacau’ dan cara untuk menanganinya.
Sama seperti orang dewasa, golongan remaja juga tidak terkecuali daripada dibelenggu masalah dan mendorong kepada tekanan. Oleh itu, luahkan tekanan anda tetapi awas!! Biarlah dengan cara yang betul dan dianggap rasional. Usah sesekali anda menyimpan tekanan anda kerana jika tekanan terlalu banyak, ia boleh meletus ibarat gunung berapi Fujiyama. Ia boleh menyebabkan kemudaratan kepada diri sendiri dan juga kepada orang lain.
Semenjak kebelakangan ini, semakin kerap kita mendengar mengenai individu yang mengalami tekanan dan kemurungan jiwa, baik disebabkan oleh tekanan kerja, masalah cinta, perpecahan keluarga, masalah kewangan dan sebagainya.
Remaja hakikatnya antara golongan yang sentiasa diuji dengan pelbagai cabaran yang akhirnya turut mendorong kepada tekanan. Selain masalah percintaan atau perhubungan remaja, golongan muda mudah tertekan bila berdepan musim peperiksaan atau masalah personaliti diri. Persoalannya adakah tekanan wajar diluahkan atau lebih baik disimpan untuk mengelakkan ia diketahui orang??
Jika mahu diluahkan, apakah cara cara terbaik kerana bukan sedikit yang menzahirkannya dengan cara yang salah seperti melarikan diri daripada rumah, menjadi pembuli bahkan ada yang lebih tragis sanggup membunuh diri.
Baiklah, di sini aku ingin kongsikan sedikit tip yang boleh diamalkan remaja bagi mengurangkan tekanan dalam kehidupan seharian. Semoga tip ini dapat membantu kalian semua. InsyaAllah
Tidur yang mencukupi
Tidur yang mencukupi dapat merehatkan badan serta otak. Kajian menunjukkan, seseorang yang tidur tiga jam sehingga empat jam kurang daripada kadarnya yang biasa akan mengalami tekanan. Bukan itu sahaja, ia juga boleh melemahkan sistem pertahanan badan dan menjadikan diri anda mudah dijangkiti kuman. Penemuan ini dilaporkan dalam majalah perubatan Lancet pada bulan Oktober 1999.
Berwuduk (bagi yang beragama Islam)
Jiwa kita akan menjadi tenang jika kita membiasakan diri dengan mengambil wuduk sebelum melakukan sesuatu pekerjaan. Secara psikologi, ia membantu memberikan kita pemikiran yang lebih positif. Para pelajar misalnya, disarankan agar membiasakan diri mengambil wuduk sebelum mengulangkaji pelajaran agar lebih tenang semasa sesi ulang kaji.
Lakukan kegiatan luar seperti bersukan
Badan yang cergas akan membentuk otak yang cergas. Justeru, segala tekanan sewaktu kerja sekurang-kurangnya dapat dilepaskan apabila kita melakukan aktiviti-aktiviti luar yang dapat menyihatkan tubuh badan seperti bersukan. Situasi akan menjadi lebih menggembirakan jika kita meluangkan masa membawa keluarga pergi beriadah. Ikatan kekeluargaan juga akan bertambah erat dan kukuh. Jika berada berjauhan dengan keluarga, lakukan aktiviti ini bersama kawan-kawan. Nescaya ia juga dapat merapatkan hubungan antara kawan-kawan dengan kita.
Amalkan diet
Pengambilan makanan yang berlebihan dan tidak seimbang juga merupakan salah satu faktor tekanan sewaktu kerja. Oleh itu, cara untuk mengurangkan tekanan ialah mengamalkan diet. Pemakanan yang tidak terkawal akan menyebabkan kegemukan dan menimbulkan penyakit kronik yang lain seperti lemah jantung, darah tinggi dan kencing manis.
Menangis sepuas hati
Tekanan yang dihadapi dapat diredakan melalui luahan hati. Biasakan diri anda menzahirkan masalah anda di atas sehelai kertas atau meluahkan kepada kawan karib anda. Selain itu, terdapat juga segolongan remaja yang mempunyai laman blog, mereka banyak mencurahkan tekanan melalui coretan dalam blog mereka. Jika anda mahu menangis, lakukan sahaja. Menangislah sepuas-puasnya tetapi anda perlu tahu bila masa yang terbaik untuk berhenti.
Tingkatkan keyakinan diri
Apabila kita mempunyai keyakinan diri, maka kita tidak akan mempunyai masalah untuk melakukan sesuatu pekerjaan yang disuruh walaupun ia susah. Kita perlu positif dengan setiap arahan dan perubahan agar ia tidak memberikan impak negatif pada emosi kita. Apa yang penting kita mesti menghargai kebolehan diri dan memulakan hidup dengan lebuh ceria.
Cintai diri sendiri
‘cintailah diri kamu sendiri sebelum kamu mencintai diri orang lain’. Jelas daripada maksud sepotong hadis ini, kita perlu mencintai diri sendiri terlebih dahulu berbanding mencintai diri orang lain. Dari situ barulah kita akan lebih menghargai diri sendiri dan mahu mencapai yang terbaik demi masa depan kita.
Tarik nafas dalam-dalam
Bila tiba-tiba anda rasa mahu marah atau diserang panik, tarik nafas dalam-dalam. Lakukannya beberapa kali. Apabila anda menyalurkan oksigen yang mencukupi ke otak, ia dapat membantu anda berfikir dengan wajar atau rasional.
P/s: semoga perkongsian ini dapat memberikan manfaat kepada semua khususnya kepada mereka yang sentiasa melawati laman blogku ini yang tidak seberapa. Sekian